Friday, November 11, 2005

Selepas Raya

di jalan dan lebuh
trafik masih lengang
ramai yang belum pulang
menghabiskan sisa dicelah balang

di gedung-gedung
senyum manis merimbun
mengira untung bertimbun
untung terhebat sepanjang tahun

di bilik air
baju-baju comot di dalam baldi
tumpahan kuah rendang dan kari
raya tahun depan bakal diganti

di celah-celah balang
habuk yang pelbagai rasa
lipas dan semut bermaharajalela
menikmati sisa hari raya

di balik tirai
aku sendirian terbaring
kepala ligat berpusing
angkara bahang panas daging
dan poket yang makin kering

aku kini
masih sendiri
menghitung hari
menunggu gaji
hi hi hi hi....

Friday, October 14, 2005

Ramadhan I

di pasar ini
semarak irama berahi
nafsu yang terkunci
sepanjang hari

di pasar ini
juadah terhidang
ringgit yang melayang
moga tiada baki terbuang

di pasar ini
menggesel disana sini
pahala berguni
tinggal sebiji

di kompleks ini
pakaian baru bergantungan
menyambut hari kemenangan
hingga lupa
maksud perjuangan

masjid ini
semakin sunyi
walau Ramadhan meniti
sepuluh hari

Ramadhan ini
tingkatkanlah amalan
hindarkan godaan
puasa disempurnakan
fitrah ditunaikan

Friday, September 30, 2005

Jumaat yang tiada masa

seperti tiada masa
menunggu azan kedua
bersandar dikaki lima
bicara hal dunia

seperti tiada masa
masih bersidai digerai
menjamah hidangan pelbagai
perempuan cantik diintai
aurat didedah iman terkulai

seperti tiada masa
mendengar pesan dari mimbar
isi kering dan hambar
membuat mata bundar

seperti tiada masa
ketika takbir diangkat
kereta motor pula diingat
kasut ditangga masihkah selamat
tidak diusik oleh anasir jahat

seperti tiada masa
selepas salam kiri
terus bangun berlari
meninggalkan rumah Ilahi

seperti tiada masa
tanpa doa dipanjat
segera pulang ke pejabat
moga perjalanan tidak tersekat
dalam jam panjang teramat

seperti tiada masa
mengejar urusan dunia
fadhilat Jumaat entah ke mana
hari berkat berlalu sia-sia
banyak sangatkah amalan kita?

Friday, September 16, 2005

Selamat Ulang Tahun

untuk isteriku
sempena ulangtahun kita
sebuah kisah lama
yang disusun semula...

KALI PERTAMA

terbang riang camar di awan
mencari makan hingga ke senja
begitu indah sejambak kenangan
seribu tahun masih terasa

sedu nelayan laut gelora
bila pukatnya hanyut tersisih
bermula dengan teman bicara
akhirnya terpikat terpaut kasih

BERMULA DENGAN

melingkar kasih tidak berbayang
mencari rahsia cinta sejati
mekar kasih berbunga sayang
rindu beralun dipersada hati

segak gagah putera bestari
puteri manja kesayangan ratu
seri wajahmu igauan mimpi
senyum kerlingan penawar rindu

bila rindu datang bertandang
hati mula gundah gulana
dalam hati rindu berdendang
wajahmu ku lihat dimana-mana

hati mula gundah gulana
resah gelisah datang bertamu
sakit rindu sudah terkena
tidur tak lena mengenang dirimu

TETAPI

keris berkarat ulu bertaut
pusaka lama jangan persenda
walau jauh terpisah laut
setia kasih padamu dinda

gemersik lagu dara santubong
panah arjuna menusuk hati
beribu batu berbalam gunung
dinda disana setiakah menanti

murai berkicau berdendang riang
pelangi biru nampak berbayang
naskah cintamu jarang bertandang
risaukan dirimu beralih sayang

KAU KATA


pucuk jati dipuput bayu
gugur di pangkin kayu cendana
hati hamba miliknya satu
mana mungkin dua tuannya

walau jauh dipandang mata
cinta disemai kasih sejati
biarpun jauh diseberang sana
kasihku berubah tidak sekali

sungguh lama kita terpisah
wajahmu bermain didalam mimpi
kalau dah kasih teguhlah sudah
kering lautan tetap ku nanti

anak tani bermandi peluh
kepah dicari dipantai landai
bila hati berpaut kukuh
takkan goyah dilanda badai

tempua hinggap dipohon seraya
terbang kenari dipinggir taman
jujur setia saling percaya
kunci harmoni dalam genggaman

pantun melayu warisan lama
madah dikarang tersisip makna
janji disulam hidup bersama
mekar cinta setia ke akhirnya

mawar sejambak mekar berseri
duduk bersantai wira sejati
biar ombak menghempas diri
pantai nan luas terhampar menanti

AKHIRNYA

Burung tempua berseri cantik
Datang sang merbah terbang bersama
Menghitung hari menanti detik
Berdua melangkah ke gerbang cinta

KINI

burung merpati terbang seribu,
hinggap seekor di tengah laman,
hendak mati di hujung kuku,
hendak berkubur di tapak tangan.

gagah wira mahir bersilat
sanggup mati demi negara
sumpah setia keakhir hayat
sehidup semati janji bersama

UNTUK PEMBACA

tuai padi antara masak
esok jangan layu-layuan
intai kami antara nampak
esok jangan rindu-rinduan

tuai padi antara masak
buat santapan puteri beradu
kalau intai sekadar nampak
mana mungkin terubat rindu

Wednesday, July 27, 2005

Potret Dari Tingkap

Aku baru pulang dari Guangzhou China, keluar negara beberapa hari atas urusan kerja, mengenal tentang budaya, perjuangan untuk terus hidup, persaingan dalam pasaran yang semakin terbuka pada usia yang makin hampir... ditamatkan.

dari tingkap
bangunan bertingkat
aku merenung ke bawah
sebuah kehidupan terabai

lorong sepi yang samar
cita-cita yang terkubur
luka yang bernanah
sesat di jalan yang berliku
dialah pelacur tua

bersiul di muka pintu
mengubat duka dan pilu
hidup tanpa tuju
mengemis kasih palsu
menghitung hari berlalu

berdandan di muka pintu
merawat muka yang retak seribu
yang dahulu perawan ayu
kini terbakar angkara nafsu cinta palsu

dengan zamannya yang lama berlalu
dagangannya kini tidak laku
teman setianya datang bertamu
seekor anjing menjilat dagu...

Monday, July 11, 2005

Nak jawab dulu


ise said...
bereh...kek coklat deh.:D
sori ye, dah lama sangat kek dah expired

7:42 PM
arisa said...
eiii...spelling error...cheese cake lg syedap...hehehe

7:43 PM
shidah said...
pegi ganu tak jumpa bro po?
pandang jugak tengkuk pelawat kat situ, tapi takda yang sama dgn abe po

11:16 AM
Op said...
wa sibuk sungguh skrg ek.
haah, baru lepas edah ni, dah boleh berblog kembali

12:07 AM
hana_kirana said...
Wui, lamanyer
dah cukup 40 hari rupanya, baru habis pantang, cukup 2 bulan nanti baru masuk kerja balik

10:09 PM
Anonymous said...
Como estas. Se hablo espanol?
Andres
ya riba andre, yippi,

Wednesday, June 01, 2005

An Excuse

Arcahijau baru balik dari luar negara, hari jumaat ni arcahijau nak pergi luar negeri, Trengganu Darul Iman, seminggu. Bukan bercuti, tapi bertugas. Hotel dah habis, mungkin berulang dari Marang ke KT 2 hari. Sambil usha-usha primula bagi hari-hari berikutnya.

Kepada yang bertamu, maaf lah tiada hidangan buat kalian, nanti balik ganu aku buat kek, mkan sama-sama ye.

Bertemu lagi.

Track referers to your site with referer.org free referrer feed.